Kuala Lumpur – Dua lelaki yang menyamar polis dan menyamun dua pekerja pengurup wang di Jalan Beringin, Bukit Damansara, di sini, tidak sempat membelanjakan wang tunai yang disamun apabila mereka ditahan beberapa jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang Khamis lalu itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghantar wang tunai RM131,000 kepada pelanggannya sebelum motosikal ditunggangi mereka dihimpit motosikal suspek yang turut mengacukan pistol.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan memberhentikan motosikalnya sebelum suspek memperkenalkan diri sebagai polis.
“Malah, mereka juga meminta mangsa menyerahkan wang terbabit namun ketika mangsa ingin memberikan wang itu, dia yang menyedari pistol terbabit palsu bertindak melawan menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.
“Bagaimanapun suspek berjaya merampas beg berisi wang itu dan cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka berjaya ditangkap mangsa yang kemudian bertindak menghubungi polis,” katanya.
Azlee berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan membawa suspek ke balai polis sebelum usaha mengesan rakannya giat dijalankan.
“Usaha mengesan suspek berjaya dan dia ditahan tidak lama selepas itu dan wang tinjauan samun turut berjaya ditemui semula.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan tinjauan pemeriksaan pistol yang digunakan juga adalah tiruan,” katanya. – myMeto Online
0 komentar:
Posting Komentar