Tampilkan postingan dengan label tinggi. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label tinggi. Tampilkan semua postingan

Rabu, 25 Desember 2013

Pendaratan Penyu Di Pantai Terengganu Tinggi


DUNGUN – Pendaratan penyu di pantai Terengganu, terutamanya di kawasan rezab Jabatan Perikanan agak tinggi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang di sini melaporkan dalam tempoh tersebut jumlah pendaratan penyu telah meningkat kepada 5,022 pendaratan.

“Sebelum ini jabatan itu cuma menerima antara 3,000 dan 4,000 pendaratan setahun,” demikian menurut laporan pusat tersebut di sini hari ini.

Laporan itu menyatakan pantai Geliga Kemaman mencatatkan pendaratan paling tinggi iaitu 1,704 diikuti Pulau Redang (1,374) dan Mak Simpan (1,048) pendaratan dan data ini tidak termasuk kawasan pajakan.

Selain itu Ma’Daerah juga mencatatkan pendaratan (243), Cakar Hutan (235), Ru Kudung (27), Rantau Abang (73), Pulau Perhentian (318) dan Mak Pekit (satu) pendaratan.

Mengenai program penetasan dan pelepasan penyu, laporan itu menyebut, pada tahun ini program tersebut diteruskan dengan kira-kira 402,932 biji telur diramkan dan daripada jumlah itu 242,772 biji berjaya menetas.

Laporan itu berkata pengeraman paling tinggi dibuat ialah di kawasan pantai Geliga melibatkan telur sebanyak 155,882 dan menetas 106,106 biji dan Mak Simpan 95,996 biji dan menetas 34,816 biji dan Mak Kapit 83,586 biji dan menetas 64,123 biji. – BERNAMA

Rabu, 18 Desember 2013

Sanggup potong kaki untuk pakai kasut tumit tinggi

29 Nov 2013
New York: Seorang wanita muda yang dilahirkan dengan kecacatan kaki membuat keputusan drastik untuk memotong kakinya agar dia dapat memakai kasut tumit tinggi untuk kali pertama.
Dilahirkan dengan kaki kirinya bengkok, Mariah Serrano, 21, dimaklumkan doktor yang keadaannya tidak membolehkan dia memakai kasut tumit tinggi atau mencapai impiannya untuk bekerja dalam industri fesyen.
 
Mariah dari New York memutuskan untuk memotong separuh kakinya dan digantikan dengan kaki palsu.
Kini Mariah boleh memakai semua jenis kasut termasuk kasut tumit tinggi dan sandal.
FotoMARIAH terpaksa memakai kasut sukan ketika menghadiri malam prom.

“Sukar untuk membiasakan diri dengan kasut tumit tinggi tetapi gadis tanpa kaki dan yang mempunyai masalah kaki pun perlu belajar memakai kasut tumit tinggi buat kali pertama. Saya tidak pernah rasa sangat glamor atau sungguh berkeyakinan.

“Apabila diberitahu yang saya tidak boleh memakai kasut tumit tinggi dan perlu melupakan impian saya, saya sangat sedih.

“Pakar berkata, terdapat pilihan lain iaitu memotong kaki saya. Ibu sangat takut tetapi saya tidak boleh melupakan pendapat pakar itu. Saya perlu memikirkannya secara mendalam,” katanya.

Dalam kebanyakan kes, kaki yang bengkok itu dipulihkan ketika zaman kanak-kanak dengan memakai pendakap atau menjalani pembedahan. Namun, ketika Mariah berusia 16 tahun, keadaan kakinya tidak berubah walaupun sudah menjalani lima pembedahan.

“Saya jemu memakai pendakap kaki. Disebabkan sebelah kaki lebih kecil, memakai kasut benar-benar satu masalah.

“Saya terpaksa memakai kasut sukan ketika malam prom sekolah tinggi semasa berusia 17 tahun. Saya rasa cemburu dengan kawan-kawan yang memakai kasut tumit tinggi,” katanya.

Pada April 2009, dia bertemu pakar yang memberitahunya mengenai pilihan memotong kaki.

“Buat kali pertama, saya mula memikirkan yang saya boleh melaluinya tetapi saya masih takut.

“Sehinggalah saya membaca artikel mengenai pereka kegemaran saya, Alexander McQueen yang mereka sepasang kaki palsu untuk atlit Aimee Mullins, saya tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya. - Agensi