
DUNGUN – Pendaratan penyu di pantai Terengganu, terutamanya di kawasan rezab Jabatan Perikanan agak tinggi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang di sini melaporkan dalam tempoh tersebut jumlah pendaratan penyu telah meningkat kepada 5,022 pendaratan.
“Sebelum ini jabatan itu cuma menerima antara 3,000 dan 4,000 pendaratan setahun,” demikian menurut laporan pusat tersebut di sini hari ini.
Laporan itu menyatakan pantai Geliga Kemaman mencatatkan pendaratan paling tinggi iaitu 1,704 diikuti Pulau Redang (1,374) dan Mak Simpan (1,048) pendaratan dan data ini tidak termasuk kawasan pajakan.
Selain itu Ma’Daerah juga mencatatkan pendaratan (243), Cakar Hutan (235), Ru Kudung (27), Rantau Abang (73), Pulau Perhentian (318) dan Mak Pekit (satu) pendaratan.
Mengenai program penetasan dan pelepasan penyu, laporan itu menyebut, pada tahun ini program tersebut diteruskan dengan kira-kira 402,932 biji telur diramkan dan daripada jumlah itu 242,772 biji berjaya menetas.
Laporan itu berkata pengeraman paling tinggi dibuat ialah di kawasan pantai Geliga melibatkan telur sebanyak 155,882 dan menetas 106,106 biji dan Mak Simpan 95,996 biji dan menetas 34,816 biji dan Mak Kapit 83,586 biji dan menetas 64,123 biji. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar